Anyaman Pandan Dan Mengkuang
Pandan
dan mengkuang tumbuh subur di tepi-tepi alur, paya, sungai dan
kawasan-kawasan yang menggenangi air tawar di seluruh nusantara. Tidak
hairanlah seni menganyam pandan dan mengkuang tersebar luas. Dengan itu,
pelbagai barangan dapat dihasilkan daripada anyaman pandan dan
mengkuang. Pandan dan mengkuang adalah tumbuhan daripada spesis yang
sama. Daun mengkuang lebih lebar, tebal dan panjang daripada daun
pandan. Oleh yang demikian, biasanya mengkuang digunakan untuk menganyam
benda-benda yang lebih besar dan kukuh berbanding dengan benda-benda
yang diperbuat daripada pandan. Namun begitu, bilah anyaman mengkuang
tidak semestinya lebih lebar daripada bilah anyaman pandan
Kelebaran
bilah anyaman dikaitkan dengan kehalusan hasil kerja, lebih kecil
bilah, lebih halus hasil kerjanya. Hasil kraf yang halus pembuatannya
mempunyai nilai hiasan yang tinggi. Sebaliknya, hasil kraf yang kasar
lebih menekankan ciri fungsional. Tikar mengkuang yang lebar anyamannya
biasanya digunakan untuk menjemur padi, mengalas lantai dapur atau
jemuran dan sebagainya. Tikar yang dianyam untuk kegunaan demikian tidak
dicelupkan warna, berlainan daripada tikar yang dikhaskan untuk tetamu.
Tetamu dibentangkan tikar yang bukan sahaja halus anyamannya malah
bercorak dan berwarna-warni.
MEMPROSES BAHAN
Daun-daun
yang cukup tua ditetak di pangkalnya sehelai demi sehelai, bermula di
bahagian umbi pokok. Tujuh atau lapan helai daun muda di keliling umbut
pokok tidak ditetak tetapi ditinggalkan untuk tuaian seterusnya serta
untuk memastikan pokok itu terus hidup dan mengeluarkan daun-daun baru.
Menetak daun dilakukan dengan berhati-hati kerana pandan dan mengkuang
berduri-duri, sedangkan tanah dikeliling perdunya lazimnya berair dan
licin atau mudah perlus. Daun-daun yang sudah ditetak kemudian dipangkas
hujungnya untuk membuang bahagian yang tirus dan tidak dapat dibelah,
serta supaya semua daun itu hampir sama panjang. Seterusnya, daun-daun
tersebut dilayur di atas bara unggun api kecil hingga layu.
Kadangkala
daun-daun itu tidak dilayur tetapi dijemur hingga benar-benar kering
dan layu. Tujuannya ialah mematikan sel daun dan menyingkirkan air yang
terdapat di dalamnya. Setelah daun-daun itu layu, duri yang terdapat
pada tulang belakang dan sayap mengkuang dibuang dengan sautas serat
sabut yang diregangkan ibu jari dan jari telunjuk. Apabila duri belakang
daun dibuang, dengan sendirinya daun terbelah menjadi dua. Belahan itu
kemudian dibelah lagi mengikut kelebaran yang dikehendaki dengan alat
yang dipanggil jangka. Belahan-belahan yang siap dijangka dikumpulkan
dan diikat sebesar betis dengan jarak kira-kira satu kaki dari satu
ikatan ke satu ikatan lain. Belahan yang berikat itu dititik atau
dipukul dengan alu supaya lembut dan mudah dilurut.
Melurut
melembutkan belah dan melicinkan permukaannya. Belah yang sudah dilurut
dilipat tetapi tidak sampai patah lalu diikat dan direndam di dalam air
selama dua atau tiga hari. Dalam tempoh itu, air rendaman digantikan
sekurang-kurangnya dua kali supaya bilah-bilah itu tidak lebam dan
berbau busuk.
Pada
hari ketiga atau keempat, bilah-bilah itu dikeluarkan dan dibasuh dan
dibilas hingga bersih sebelum dijemur. Bilah yang cukup kering akan
bertukar menjadi putih. Seterusnya, bilah itu bolehlah diwarnakan jika
mahu. Bilah-bilah mengkuang atau pandan diwarnakan dengan cara mencelup,
iaitu merebusnya bersama bahan celup pewarna selama beberapa minit.
Dahulu, cuma tiga warna yang popular iaitu merah, hijau dan kuning
kerana bahan celup warna-warna tersebut mudah diperolehi. Warna merah
daripada pokok kesumba, hijau daripada daun bemban, dan kuning daripada
daun kunyit. Tetapi, sekarang bahan celup pelbagai warna dijual dengan
meluas. Apabila sudah dicelup dan dijemur hingga kering, bilah-bilah
dilurut bagi kali terakhir supaya lebih licin dan lembut.
MENGANYAM
Cara
anyaman dimulakan bergantung pada jenis benda yang ingin dihasilkan
serta corak hiasan yang dipilih. Anyaman tikar misalnya, boleh dimulakan
di tengah-tengah ataupun di bucu. Tetapi, bagi tudung saji, anyaman
mesti dimulakan di puncaknya yang berbentuk kon. Kon puncak itu boleh
digantungkan atau diketengahkan untuk meneruskan anyaman tudung saji